Tuesday, November 23, 2010

SUDUT INFORMASI - Sejarah-

     Tarian Sumazau adalah satu jenis tarian tradisional dari suku kaum Dusun-Kadazan di negeri Sabah, terutama bagi suku kaum Dusun di Membakut, Penampang, dan Papar.
   'Sumazau' adalah berasal daripada kata akar 'Sazau' yang bermaksud lompatan dalam dialek suku kaum itu.   Menurut kepercayaan tradisi, tarian Sumazau dilakukan sempena upacara tertentu seperti memuja roh, kuasa ghaib  dan semangat, upacara menolak bala, upacara perubatan, dan berbagai-bagai upacara lain yang diamalkan oleh masyarakat suku kaum ini.
  Tarian Sumazau pada mulanya adalah berdasarkan pergerakan unggas yang berjalan di atas tanah, iaitu dengan membuat lompatan kecil, tetapi telah diubah dari semasa ke semasa hingga ke hari ini.
Tarian ini akan diiringi oleh muzik tradisi yang memainkan muzik dengan alunan dan maksud yang tertentu. Antara alat muzik yang digunakan adalah seperti gendang, gong, tetawak, caklempung, sompotan, dan berbagai-bagai lagi.   Penari-penari tarian Sumazau ini yang terdiri daripada lelaki dan wanita akan memakai sejenis pakaian khas yang diperbuat daripada kain baldu dan tenunan benang. 
    Pakaian bagi penari wanita yang masih gadis adalah blous berlengan pendek. Manakala wanita yang sudah berkahwin akan memakai blous yang berlengan panjang. Blous ini akan disesuaikan dengan kain sarung baldu seperti skirt labuh yang dibelah di bahagian depan dari paras lutut ke bawah untuk memudahkan penari mengatur langkah.
    Selain daripada pakaian itu, penari juga akan memakai beberapa barang perhiasan seperti selendang, gelang, kalung, terendak atau sunduk, dan lain-lain lagi.
    Bagi penari lelaki pula, pakaian yang digunakan adalah baju lengan panjang dan seluar panjang yang dperbuat daripada kain baldu. Pakaian ini akan dihiasi dengan beberapa butir butang perak dan jalur tekat benang emas. Penari lelaki juga akan memakai tanjak atau tengkolok di kepala sebagai perhiasan.

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright© All Rights Reserved zaila36681.blogspot.com